Monday, January 23, 2017

APA ITU RADIKAL BEBAS, OKSIDAN, DAN ANTIOKSIDAN.

Untuk memahami maksud radikal bebas, kita menerima perkara berikut. Kita menerima bahawa tubuh kita dibentuk oleh sel-sel yang membentuk tisu, dan tisu seterusnya membentuk organ-organ yang berfungsi. Setiap sel pula adalah seperti suatu kantung halus yang berisi air serta pelbagai bahan lain, dan dindingnya dibina daripada unsur protein dan lemak. Unsur protein dan lemak ini pula dibina oleh zarah-zarah asas seperti atom karbon, hidrogen dan oksigen. Setiap atom-atom dibina oleh unsur asas yang mempunyai pusat dipanggil nukleus yang dikelilingi oleh unsur yang dipanggil elektron.

Elektron yang stabil wujud berpasangan. Sebab itu, unsur yang wujud secara semulajadi wujud dalam keadaan di mana setiap elektron didalam unsur tersebut adalah berpasangan. Contohnya, kita lihat atom oksigen. Setiap atom oksigen mempunyai satu elektron yang tiada pasangan. Sebab itu, gas oksigen yang kita sedut dari udara, wujud dalam bentuk dua pasangan atom oksigen. Ini kerana, setiap satu elektron pada atom oksigen yang pertama akan membentuk pasangan dengan satu elektron lagi pada atom oksigen yang kedua. Maka gas oksigen adalah dua atom oksigen yang saling terikat melalui pasangan elektron tadi.

Bila oksigen digunakan untuk menghasilkan tenaga daripada hasil metabolism glukosa, pasangan atom oksigen ini akan terpisah. Ini akan menghasilkan satu atom oksigen yang tidak stabil (kerana mempunyai electron yang tiada pasangan). Atom yang memounyai elektron tanpa pasangan inilah yang kita katakan sebagai bahan oksidan atau radikal bebas.

Pelbagai radikal bebas lain boleh dibentuk hasil deripada pemecahan atom dalam pelbagai aktiviti-aktiviti lain dalam badan. Justeru itu, badan kita sendiri menghasilkan pelbagai enzim yang bertindak sebagai antioksidan, yakni bahan yang membantu mengikat radikal bebas ini. Disamping itu, badan kita juga boleh menggunakan vitamin seperti vitamin C dan E untuk bertindak sebagai antioksidan.

Selain daripada itu, terdapat pelbagai bahan-bahan kimia dalam tumbuhan yang boleh badan kita guna sebagai antioksidan dalam badan. Tetapi mengapa tumbuhan perlu menghasilkan bahan antioksidan? Seperti tubuh kita, bahan-bahan antioksidan juga dihasilkan oleh tumbuhan untuk melawan kewujudan radikal bebas dalam tumbuhan.


Kehadiran radikal bebas boleh merosakkan sel kerana ianya boleh merampas elektron daripada  mana-mana atom yang membentuk dinding sel, dan ini menyebabkan dinding sel menjadi lemah dan akhirnya sel musnah. Kemusnahan pada sel-sel kulit akibat tindakan radikal bebas, contohnya, dikatakan menjadi punca kepada proses penuaan kulit.

No comments:

Post a Comment