Malas rasanya nak menulis topik ni (dan saya
rasa anda juga terasa jelak). Bukan ape, sejak di bangku sekolah lagi kita
ditekankan tentang pentingnya pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan untuk
memastikan tubuh kita mendapat vitamin dan mineral yang mencukupi. Membosankan
mendengar benda yang sama berulang-kali. Namun hakikatnya, kita tidak boleh menolak
kebenarannya kerana ianya penting untuk kesihatan dan kecergasan tubuh kita.
Selain daripada tiga makanan asas utama (karbohidrat,
protein dan lemak), badan kita juga memerlukan vitamin dan mineral, tetapi dalam
kuantiti yang amat kecil. Sumber utama vitamin dan mineral adalah
tumbuh-tumbuhan. Namun begitu, sesetengah vitamin dan mineral hanya boleh
diperolehi dalam jumlah yang cukup daripada sumber bukan tumbuhan, contohnya
kalsium, zat besi dan asid folik.
Vitamin dan mineral membantu badan kita
berfungsi dengan lebih baik. Walaupun badan kita mengeluarkan bahan kimia
sendiri untuk melaksanakan tugasan dalam badan, fungsi ini ditambah baik dengan
bantuan vitamin dan mineral. Tambahan lagi, sesetengah fungsi badan bergantung
sepenuhnya kepada sumber mineral. Contohnya kalsium. Kita sedia maklum kalsium
diperlukan untuk membina tulang dan gigi yang kuat. Juga, zat besi diperlukan
untyuk membolehkan sel darah merah mengangkut oksigen dan vitamin C diperlukan
dalam pembinaan kolagen.
Adalah penting untuk memastikan sayuran dan
buah-buhan menjadi sebahagian daripada sumber makanan harian anda. Ini kerana,
selain daripada vitamin dan mineral, sumber tumbuhan juga kaya dengan pelbagai
bahan kimia lain (ada yang masih belum kita kenalpasti) yang mempunyai manfaat
kepada kesihatan tubuh; contohnya kumpulan fenolik yang bertindak sebagai bahan
antioksidan yang membantu mengelak kerosakan pada sel-sel badan.

No comments:
Post a Comment