Kita biasa dengar bagaimana nasi atau diet yang tinggi
karbohidrat boleh menyebabkan gemuk. Bagaimanakah ini boleh berlaku? Dalam
tajuk “Asas makanan utama” saya ada mengatakan bahawa glukosa yang terhasil
daripda pencernaan karbohidrat adalah sumber utama tenaga badan. Walaupun badan
boleh menggunakan sumber lain untuk meghasilkan tenaga, keutamaan diberikan
kepada glukosa.
Dalam keadaan di mana glukosa yang terhasil adalah
berlebihan, ianya akan disimpan dalam bentuk cabangan rantaian glukosa yang dinamakan
glikogen. Bolehlah kita katakan bahawa glikogen adalah simpanan tenaga untuk
badan. Walaubagaimanapun, badan hanya boleh menyimpan glikogen dalam jumlah
yang terhad, dimana ianya disimpan kebanyakannya dalam hati dan otot, dan sebahagian
kecil dalam organ-organ lain kecuali otak (sebab itu otak perlu sentiasa
mendapatkan bekalan glukosa dari darah dan sebab inilah anda mudah terasa
pening atau pitam bila paras gula dalam darah rendah).
Pada masa yang sama, lemak juga adalah bentuk simpanan
tenaga badan. Lemak ini disimpan dalam gumpalan tri-asilgliserol dalam sel lemak
(dinamakan adiposit). Tri-asilgliserol berada dalam bentuk dimana molekul asid lemak diikat
kepada molekul gliserol. Dalam kes ini, tiga asid lemak diikat kepada satu
molekul gliserol (maka sebab itu dinamakan trigliserol dimana tri- merujuk
kepada tiga molekul asid lemak berkenaan). Bila simpanan glikogen berkurangan,
molekul tri-asilgliserol boleh dipecahkan dimana komponen gliserol boleh diubah
kepada glukosa dan seterusnya diguna untuk menghasilkan tenaga. Disamping itu,
tiga molekul asid lemak tadi juga boleh digunakan terus untuk menghasilkan
tenaga.
Tidak seperti glikogen, kebolehan badan untuk menyimpan
lemak tiada had. Dan tubuh kita dicipta untuk tidak membazir. Untuk itu, bila
simpanan glikogen sudah mencapai had, glukosa yang berlebihan boleh diubah
kepada gliserol dan disimpan sebagai lemak.
No comments:
Post a Comment