Dalam blog saya sebelum ini, saya ada mengatakan bahawa
tubuh kita ini samalah seperti satu komuniti yang disusun rapi dengan setiap
kumpulan individu memainkan peranan yang khusus. Saya ingin menambah bahawa
peranan setiap kumpulan individu ini menyumbang kepada kesejahteraan seluruh
komuniti. Contohnya: Sel darah merah berperanan mengangkut oksigen ke seluruh
sel dalam badan (oksigen diperlukan dalam penghasilan tenaga daripada glukosa),
sel otak menyimpan maklumat dan menggunakan maklumat ini untuk mengawal fungsi
seluruh badan, dan sel pada kulit membentuk pertahanan awal dalam menghalang
perncerobohan oleh bahan asing (contoh bakteria).
Setiap sel ini, akan sentiasa membahagi (sel membiak dengan
membahagi) untuk membentuk sel baru. Maka sel baru lahir dan sel yang lama (yang
tidak lagi boleh membahagi) mati dan dihapuskan. Ini berlaku dalam suatu tempoh
yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, lihat kulit anda. Bila setiap sel
membahagi dalam tempoh yang sama, permukaan kulit kekal rata kerana tiada sel
yang membahagi lebih cepat atau perlahan berbanding dengan yang lain. Seperti
sebuah perbarisan dimana bila setiap individu dalam perbarisan bergerak pada
langkah atau fasa yang sama, maka barisan akan kekal sebaris bergerak ke
hadapan.
Bayangkan kalau ada satu individu sel yang enggan membahagi
pada fasa yang sama seperti yang lain. Dia membahagi lebih cepat berbanding
yang lain. Bukan sahaja itu, ianya berjaya menjumpai cara untuk mengelak dari
mati. Jadi apa yang akan berlaku adalah adalah pembentukan gumpalan sel
daripada satu sel ini tadi. Ini berlaku kerana pembahagian sel yang pantas dan
tanpa melibatkan kematian sel, akhirnya menyebabkan ruang yang disediakan untuk
individu satu sel ini tidak mampu menampung jumlah sel yang banyak hingga
terbentuk gumpalan tadi. Gumpalan ini
kita namakan tumor.
Jika sel dalam tumor ini hanya membahagi dan tidak berpindah
ke kedudukan lain dalam badan atau tidak menjajah tisu bersebelahan, tumor ini
dinamakan tumor benign. Jika sel dalam tumor berkenaan mampu mengasingkan diri
dari tumor tersebut, dimana ianya bioleh memasuki saluran limfa dan bergerak ke
tisu lain dalam organ lain dan memulakan koloni baru, maka tumor ini kita
katakan tumor malignant atau tumor kanser dan sel didalamnya kita panggil sel
kanser.
Inilah salah satu sebab mengapa amat sukar untuk memerangi
kanser. Bila dilihat struktur dan sifat, tidak ada bezanya antara sel normal
dan sel kanser kecuali yang satu lagi mampu membahagi yakni bertambah dengan
pantas. Sebab itu ubat yang diguna untuk membunuh sel kanser akan juga membunuh
sel yang normal dan sebab itu kita lihat berlaku keguguran rambut semasa
kemoterapi (kemoterapi samalah maksudnya
dengan terapi berasaskan ubat kimia).
No comments:
Post a Comment