Wednesday, February 15, 2017

Saya kebuluran ke?

Secara umum, makanan yang kita makan akan diproses oleh pelbagai enzim yang memecahkan makanan ini kepada bentuk yang boleh diserap oleh tubuh. Berapa lama agaknya masa yang diambil untuk seluruh proses ini berlaku and hasilnya dihantar keseluruh bahagian badan. Jom kita lihat apa yang berlaku kepada nutrien yang membekalkan tenaga badan iaitu glukosa. Memahami perjalanan glukosa adalah penting untuk kita mengetahui tentang bekalan keperluan tenaga badan. Ini boleh membantu kita merancang jadual makan dengan baik. Perjalanan glukosa terbahagi kepada dua: fasa penyerapan dan fasa pasca-penyerapan.

Fasa penyerapan berlaku sebaik selepas kita makan dan boleh mengambil masa 2-4 jam. Semasa fasa ini, paras glukosa darah meningkat hasil daripada kemasukan glukosa yang dibebaskan daripada proses pencernaan makanan. Juga, semasa fasa ini, glukosa yang berlebihan disimpan sebagai glikogen dalam semua tisu dan organ dalam tubuh kecuali otak. Walaubagaimanapun, tisu yang menyimpan paling banyak glikogen adalah hati dan otot.

Memasuki 2-4 jam selepas makan, tubuh kita memasuki apa yang dipanggi fasa pasca-penyerapan. Semasa fasa ini, hati mula memecahkan tabung glikogen untuk memastikan paras gula dalam darah stabil. Ingat, tubuh kita berterusan menggunakan glukosa untuk membekalkan tenaga yang diperlukan untuk proses hidup; maka paras gula darah akan menurun dan menjadi fungsi hati untuk memastikan paras gula darah tidak jatuh dibawah paras fisiologi yang ditetapkan (homeostasis gula). Pada masa fasa ini juga, badan akan mula membakar lemak untuk dijadikan sumber tenaga. Semakin lama fasa ini berjalan, semakin banyak lemak dibakar bagi menampung simpanan glikogen yang makin berkurangan (Ingat: simpanan glikogen adalah terhad tetapi tidak simpanan lemak).


Maka anda boleh lihat nampak disini bahawa tempoh masa 2-4 jam diperlukan untuk badan memasuki pasca-penyerapan sebelum simpanan gula mula digunakan. Jadi, jika anda makan semula dalam tempoh 2-4 jam ini, badan anda memasuki semula fasa penyerapan hasil makanan yang dicerna.  Jika anda masih tidak makan selama 10-12 jam selepas makan tadi, tubuh memasuki fasa basal (iaitu fasa bagi proses metabolisma asas badan). Tubuh hanya memasuki fasa kebuluran selepas 3-5 hari tidak makan. Jadi, untuk mereka yang berpuasa disiang hari, tidak ada sebab untuk makan berlebihan bila tiba waktu berbuka puasa.  

No comments:

Post a Comment